Friday, April 13, 2007

LAGU-LAGU PUISI DI MALAYSIA

MESKIPUN semua lirik lagu merupakan puisi, namun khalayak di negara kita menganggap hanya lagu-lagu-lagu yang berlirikkan sajak sebagai lagu-lagu puisi. Apapun ianya kini semakin mendapat tempat dan dihayati oleh semua golongan dalam masyarakat kita. Lebih menggalakkan, kini terdapat usaha-usaha untuk memperbanyakkan lagu-lagu berbentuk demikian dengan meenganjurkan pertandingan mencipta lagu-lagu puisi oleh pihak-pihak tertentu.

Mengimbas sejarah perkembangannya, ramai yang beranggapan bahawa M. Nasir adalah komposer pertama yang mencipta lagu-lagu puisi di negara ini. Sementara kumpulan Kopratasa yang menyanyikan lagu-lagu ciptaan komposer itu pula dikatakan sebagai kumpulan penyanyi lagu-lagu puisi yang pertama.

Namun hakikatnya, pencipta pertama yang menggunakan sajak sebagai lirik-lirik lagu ciptaannya adalah pencipta Dato’ Ibrahim Bachik. Manakala seorang penyanyi bernama Rashidah Baharuddin bolehlah dikreditkan sebagai penyanyi pertama di Malaysia yang menyanyi dan merakamkan lagu-lagu yang bercorak demikian, sekitar awal-awal tahun 80-an yang lalu.

Lagu ‘Hatiku Hatiku Jua’ adalah lagu ciptaan Ibrahim Bachik yang menggunakan sebuah sajak karya penyair Saleh Daud sebagai liriknya. Selain lagu itu terdapat 2 buah lagi lagu yang dinyanyi dan dirakamkan oleh penyanyi bersuara manja, Rashidah Baharuddin telah dicipta oleh komposer Ibrahim Bachik mengguna sajak-sajak kayra Saleh Daud sebagai liriknya. Lagu-lagu itu masing-masin berjudul, ‘Pohon Cemara’ dan ‘Fajar Lebaran Yang Kudus’.

Ibrahim Bachik juga pernah mencipta lagu dari sajak terkenal karya Sasterawan Negara Usman Awang yang bertajuk ‘Cinta’ sebagai lirik lagu ciptaannya. Lagu-lagu tersebut mendapat sambutan yang agak baik dari para pendengar. Namun ketika itu ia dinikmati oleh para pendengar sebagai lagu-lagu pop biasa kerana sifatnya sebagai lagu-lagu bercorak puisi tidak begitu ditonjolkan. Tetapi masih khilaf tentang sajak Usman Awang yang berjudul Uda & Dara, adakah sajak itu di ambil oleh Tan Sri Dr. P. Ramlee sebagai lirik lagu ciptaannya.

Hanya beberapa tahun kemudian barulah muncul sebuah album yang benar-benar berkonsepkan puisi. Album dalam bentuk kaset itu telah dirakamkan oleh kumpulan Kopratasa yang dianggotai 3 orang ‘penyair jalanan’ iaitu Siso, Sani Sudin dan Usop. Salah sebuah dari lagu yang termuat dalam album pertama mereka berjudul ‘Masihkah Kau Ingat’ telah mendapat sambutan hebat dari para pen-dengar. Kopratasa dianggap mempolopori kegiatan mencipta dan menyanyikan lagu-lagu bercorak puisi di tanah air kita.

Tidak berapa lama kemudian muncul sebuah lagi album yang berkonsepkan puisi. Ia dihasilkan oleh kumpulan Harmoni yang dipimpin oleh Zubir Ali, yang juga kebanyakan mencipta lagu-lagu bagi kumpulan itu. Sebuah lagu ciptaan Zubir Ali dengan lirik berbentuk puisi yang dihasilkan oleh beliau sendiri berjudul ‘Penantian’ benar-benar telah mendapat sambutan hangat dan begitu popular ketika itu.

Sebuah lagi lagu ciptaan Zubir Ali berjudul ‘Tuhan’ menggunakan puisi karya Khairil Anwar, penyair anarkis dari Angkatan 50-an di Indonesia sebagai senikatanya. Lagu tersebut begitu popular sehingga ke hari ini. Zubir Ali juga telah mencipta sebuah lagu yang mengisahkan kekajaman Israel ke atas umat Islam Palestin dalam peristiwa yang berlaku di Syatila. Lagu yang menyentuh perasaan itu telah menjuarai pertandingan Pesta Lagu Malaysia beberapa tahun lalu.

Kumpulan Kopratasa dan Harmoni telah merakamkan beberapa album lagu-lagu puisi yang terus mendapat sambutan. Kebanyakkan lagu-lagu yang dirakamkan oleh kumpulan Kopratasa menggunakan puisi-puisi karya para penyair tanah air sebagai liriknya. Antaranya ialah lagu-lagu ‘Tetamu Senja’ karya Sas-terawan Negara, A. Samad Said. Manakala lirik lagu-lagu kumpulan Harmoni kebanyakannya adalah puisi-puisi karya Zubir Ali sendiri. Salah sebuah lagu dari kum-pulan Harmoni yang mengesankan berjudul ‘Nyanyian Pantai Timur’. Ia mengungkapkan rintihan para nelayan pantai timur sering berdepan dengan kemelut hidup yang adakala terpaksa bergelut dengan maut.

Seorang lagi penyanyi tempatan yang merakamkan lagu-lagu berbentuk puisi ialah Ahmad Ramli. Bertugas sebagai guru di Pulau Pinang, Ahmad Ramli bersama para pencipta yang lain turut memperkayakan khazanah seni tempatan dengan lagu-lagu puisi ciptaannya.

1 comment:

siso kopratasa said...

Terima kasih Usu , satu dokumentasi yang sangat baik dan wajar diteladani oleh semua penulis. Kau dah membuka ruang sejarah untuk peminat lagu puisi menelusuri nya..terima kasih.