Friday, April 13, 2007

AKU DENGAN MAYAT IKAN PAUS

FOTO-FOTO AKU AMBIK

PHUKET TAK TAKUT TSUNAMI

Oleh USU AZHA HAJI HAMZAH

26 Disember 2004 adalah tarikh yang paling menyedihkan bagi masyarakat di seluruh dunia. Pada tarikh keramat itu jugalah ratusan manusia dicabut nyawa sekelip mata. Fenomena Tsunami, iaitu gempa bumi dari bawah laut dikenang hingga sekarang. Banyak tempat pelancongan musnah sama sekali. Yang paling dahsyat tempat tumpuan pelancongan ialah di Phuket, Thailand.

Baru-baru ini penulis sempat ke pulau peranginan Phuket bersama pelawak dan pengarah Ebby Yus, Abang Zakicina, Wandet, Man Johan Tomyam, Li Ghani dan Leman The Callman. Perjalanan kembara kami dari Kuala Lumpur merentasi Padang Basar, Hadyai, Krabi, Koh Samui dan seterusnya ke Phuket dengan menaiki van pelancong sungguh menyeronokkan. Keseluruhan perjalanan yang memakan jarak sekitar 2000 kilometer itu walaupun penat, namun ianya amat meninggalkan kenangan yang sukar dipadam.

Selepas melepasi pintu sempadan di Padang Basar, kami dijemput oleh Ustaz Abu, seorang pemandu pelancong yang sudah siap sedia menunggu kami. Dengan van separa mewah yang baru dibeli oleh Ustaz Abu itu, kami bertolak dari Padang Basar menuju Hadyai dan singgah sebentar di Songkla. Dari Songkla, kami terus ke Krabi yang memakan masa empat jam perjalanan. Sepanjang perjalanan itu penulis tak dapat melihat sekeliling kerana tidur. Sedar-sedar dah sampai Krabi.

Dari Krabi (juga terkena bencana Tsunami), kami terus ke Phuket. Perjalanan darat antara Krabi ke Phuket mengambil masa tiga jam. Setibanya di Phuket, kami terus ke hotel Sino House Apartment (terima kasih kerana memberi kami tajaan untuk tiga bilik). Setelah siap mandi dan makan, kami terus ke Pantai Patong, iaitu pantai yang paling teruk dihentam Tsunami.

Penulis pada mulanya tidak percaya kata-kata Ustaz Abu. Ustaz Abu mengatakan selepas Tsunami, Phuket masih ramai dikunjungi orang, apatah lagi di Pantai Patong. Dalam benak penulis, mana mungkin orang berani datang lagi melancong ke pantai itu sedangkan satu dunia tahu bahawa ribuan nyawa telah meninggal dunia di situ. Tapi telahan penulis silap kerana bila setengah kilometer lagi sampai di pantai itu, penulis melihat ribuan deretan payung warna kuning tersusun indah di sepanjang pantai. Bila Ustaz Abu turunkan kami di pantai itu, memang benarlah apa yang kami lihat dari jauh itu bukan sahaja payung, namun puluhan ribu manusia sedang menikmati keindahan pantai itu. Ada yang berjemur dan ada yang berlari-lari ceria di pantai itu.

Pantai Patong adalah pantai yang menghadap Laut Andaman. Ketika bencana Tsunami, keseluruhan pantai itu musnah teruk dan ramai pelancong terutamanya dari luar negara mati lemas di situ. Mayat mereka bergelimpangan sungguh menyayat hati. Ada mayat yang sempat dipunggut dan dibawa naik ke darat, dan ada juga mayat yang reput di lautan dan menjadi santapan hidupan di laut.

Phuket adalah pulau yang terbesar di Thailand. Dengan keluasan 546 kilometer persegi, Phuket didiami hampir 300,000 penduduk yang majoritinya beragama Buddha. Namun, di pulau itu juga terdapat 20 peratus penduduk yang beragama Islam (termasuk keturunan Mahsuri masih wujud di Phuket). Asal nama Phuket ialah diambil dari perkataan bahasa Melayu iaitu Bukit. Orang Siam menyebut “Bhu-Ket’.

Phuket adalah antara pulau yang terindah di dunia. Di Asia, selain Bali dan Langkawi, Phuket adalah destinasi utama penggemar pulau untuk bersantai. Mengikut perangkaan Jabatan Pelancongan Thailand, Phuket makin popular selepas bencana Tsunami dan purata pelancong yang melawati pulau itu adalah sekitar tiga juta pelancong setahun.

Rupanya ramai manusia berpegang pada pepatah, kalau ajal sudah sampai di mana pun akan mati. Penulis begitu teruja melihat Phuket yang begitu hebat dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Seorang pelancong dari German, Iedeko Kerkuska ketika berbual dengan penulis berkata dia amat mengharapkan dapat mengunjungi Phuket kerana ramai teman-temannya berkata Phuket adalah pulau yang terindah, kini dia merasa seronok kerana sudah berada di Phuket sejak lima hari yang lalu. Ketika ditanya apakah dia tidak takut dengan tsunami, Iedeko menjawab bahawa mala petaka di mana-mana pun ada.

Apa yang amat menakjubkan ialah dari 100 pelancong yang penulis jumpa, cuma lima orang sahaja pelancong dari Asia terutamanya dari Malaysia atau Singapura. Yang lainnya penuh dengan mat dan minah saleh Eropah, Australia dan juga Amerika Syarikat. Ini menunjukkan bahawa pulau Phuket terus popular di kalangan pelancong dunia terutamanya pelancong dari negara barat.

Apa yang menarik sangat di Phuket? Mungkin ada soalan yang bertanya begitu. Jawapannya ialah Phuket mempunyai banyak pantai yang bersih dan sesuai untuk santai dan mandi manda. Air laut di pantai phuket juga jernih dan bersih. Berdekatan dengan pulau Phuket juga terdapat beberapa pulau kecil yang sungguh indah dan unik. Antaranya ialah seperti Pulau Phi Phi iaitu tempat penggambaran filem The Beach lakonan Lenardo DiCaprio. Di sebelah selatannya pula ialah pulau Phang-Nga iaitu lokasi penggambaran filem James Bond, The Man With The Golden Gun lakonan Roger Moore, Christoper Lee dan Brit Eklan yang dibuat pada tahun 1974.

Beberapa bulan selepas Tsunami, memang Phuket menjadi seperti padang jarak padang terkukur kerana ketika itu ramai orang masih fobia dan bersimpati dengan bencana alam itu. Tetapi kini setelah dua tahun lebih bencana itu berlaku, Phuket kembali bangkit dari kesedihan Tsunami dan pulau itu mungkin berkata “aku tak takut tsunami”.

LAGU-LAGU PUISI DI MALAYSIA

MESKIPUN semua lirik lagu merupakan puisi, namun khalayak di negara kita menganggap hanya lagu-lagu-lagu yang berlirikkan sajak sebagai lagu-lagu puisi. Apapun ianya kini semakin mendapat tempat dan dihayati oleh semua golongan dalam masyarakat kita. Lebih menggalakkan, kini terdapat usaha-usaha untuk memperbanyakkan lagu-lagu berbentuk demikian dengan meenganjurkan pertandingan mencipta lagu-lagu puisi oleh pihak-pihak tertentu.

Mengimbas sejarah perkembangannya, ramai yang beranggapan bahawa M. Nasir adalah komposer pertama yang mencipta lagu-lagu puisi di negara ini. Sementara kumpulan Kopratasa yang menyanyikan lagu-lagu ciptaan komposer itu pula dikatakan sebagai kumpulan penyanyi lagu-lagu puisi yang pertama.

Namun hakikatnya, pencipta pertama yang menggunakan sajak sebagai lirik-lirik lagu ciptaannya adalah pencipta Dato’ Ibrahim Bachik. Manakala seorang penyanyi bernama Rashidah Baharuddin bolehlah dikreditkan sebagai penyanyi pertama di Malaysia yang menyanyi dan merakamkan lagu-lagu yang bercorak demikian, sekitar awal-awal tahun 80-an yang lalu.

Lagu ‘Hatiku Hatiku Jua’ adalah lagu ciptaan Ibrahim Bachik yang menggunakan sebuah sajak karya penyair Saleh Daud sebagai liriknya. Selain lagu itu terdapat 2 buah lagi lagu yang dinyanyi dan dirakamkan oleh penyanyi bersuara manja, Rashidah Baharuddin telah dicipta oleh komposer Ibrahim Bachik mengguna sajak-sajak kayra Saleh Daud sebagai liriknya. Lagu-lagu itu masing-masin berjudul, ‘Pohon Cemara’ dan ‘Fajar Lebaran Yang Kudus’.

Ibrahim Bachik juga pernah mencipta lagu dari sajak terkenal karya Sasterawan Negara Usman Awang yang bertajuk ‘Cinta’ sebagai lirik lagu ciptaannya. Lagu-lagu tersebut mendapat sambutan yang agak baik dari para pendengar. Namun ketika itu ia dinikmati oleh para pendengar sebagai lagu-lagu pop biasa kerana sifatnya sebagai lagu-lagu bercorak puisi tidak begitu ditonjolkan. Tetapi masih khilaf tentang sajak Usman Awang yang berjudul Uda & Dara, adakah sajak itu di ambil oleh Tan Sri Dr. P. Ramlee sebagai lirik lagu ciptaannya.

Hanya beberapa tahun kemudian barulah muncul sebuah album yang benar-benar berkonsepkan puisi. Album dalam bentuk kaset itu telah dirakamkan oleh kumpulan Kopratasa yang dianggotai 3 orang ‘penyair jalanan’ iaitu Siso, Sani Sudin dan Usop. Salah sebuah dari lagu yang termuat dalam album pertama mereka berjudul ‘Masihkah Kau Ingat’ telah mendapat sambutan hebat dari para pen-dengar. Kopratasa dianggap mempolopori kegiatan mencipta dan menyanyikan lagu-lagu bercorak puisi di tanah air kita.

Tidak berapa lama kemudian muncul sebuah lagi album yang berkonsepkan puisi. Ia dihasilkan oleh kumpulan Harmoni yang dipimpin oleh Zubir Ali, yang juga kebanyakan mencipta lagu-lagu bagi kumpulan itu. Sebuah lagu ciptaan Zubir Ali dengan lirik berbentuk puisi yang dihasilkan oleh beliau sendiri berjudul ‘Penantian’ benar-benar telah mendapat sambutan hangat dan begitu popular ketika itu.

Sebuah lagi lagu ciptaan Zubir Ali berjudul ‘Tuhan’ menggunakan puisi karya Khairil Anwar, penyair anarkis dari Angkatan 50-an di Indonesia sebagai senikatanya. Lagu tersebut begitu popular sehingga ke hari ini. Zubir Ali juga telah mencipta sebuah lagu yang mengisahkan kekajaman Israel ke atas umat Islam Palestin dalam peristiwa yang berlaku di Syatila. Lagu yang menyentuh perasaan itu telah menjuarai pertandingan Pesta Lagu Malaysia beberapa tahun lalu.

Kumpulan Kopratasa dan Harmoni telah merakamkan beberapa album lagu-lagu puisi yang terus mendapat sambutan. Kebanyakkan lagu-lagu yang dirakamkan oleh kumpulan Kopratasa menggunakan puisi-puisi karya para penyair tanah air sebagai liriknya. Antaranya ialah lagu-lagu ‘Tetamu Senja’ karya Sas-terawan Negara, A. Samad Said. Manakala lirik lagu-lagu kumpulan Harmoni kebanyakannya adalah puisi-puisi karya Zubir Ali sendiri. Salah sebuah lagu dari kum-pulan Harmoni yang mengesankan berjudul ‘Nyanyian Pantai Timur’. Ia mengungkapkan rintihan para nelayan pantai timur sering berdepan dengan kemelut hidup yang adakala terpaksa bergelut dengan maut.

Seorang lagi penyanyi tempatan yang merakamkan lagu-lagu berbentuk puisi ialah Ahmad Ramli. Bertugas sebagai guru di Pulau Pinang, Ahmad Ramli bersama para pencipta yang lain turut memperkayakan khazanah seni tempatan dengan lagu-lagu puisi ciptaannya.